Pasukan petugas kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah anjuran Kerajaan Selangor di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,000 lagi disaring minggu ini, sasar 5,000 orang sebelum Ramadan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Saringan Komuniti menyasarkan 5,000 ujian sebelum Ramadan bagi mengesan individu yang dijangkiti mahupun pembawa Covid-19, kata ketua pegawai eksekutif Selgate Healthcare.

Dr Muaz Omar berkata pihaknya kini menunggu analisis pihak berkuasa untuk memilih lokasi bagi menambah jumlah pemeriksaan yang kini mencecah lebih 1,000 ujian.

“Untuk Hulu Langat, kita sudah saring 649 orang dan semalam 612 orang (di Rantau Panjang, Puchong Prima, Petaling dan Shah Alam), dijangka lebih 1,000 orang disaring yang prosesnya disambung hari ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Saringan secara ke rumah secara bersasar pada minggu ini dijalankan 20 pasukan terdiri daripada 80 sukarelawan. Tumpuan ujian adalah warga emas.

Kerajaan Selangor pada 11 April lalu melancarkan Saringan Komuniti, pertama kali di Malaysia, membabitkan pemeriksaan berskala besar bagi membendung Covid-19.

Program itu dikendali Selcare Clinic Sdn Bhd bermula minggu lalu di Dewan Undangan Negeri Kajang, Sungai Ramal dan Dusun Tua, semuanya di Hulu Langat.

Saringan itu berjaya mengesan lima penduduk yang dijangkiti virus, empat daripadanya tidak menunjukkan sebarang gejala.


Pengarang :