Hasnul Baharuddin (tengah) menyampaikan bungkusan makanan asas kepada salah seorang penduduk yang berada di sekitar DUN Morib bagi meringankan beban susulan PKP. Foto ihsan Facebook Hasnul Baharuddin
ADNSELANGOR

1,000 pek makanan untuk keluarga terjejas PKP di Morib

SHAH ALAM, 29 APRIL: Sebanyak 1,000 bungkusan makanan asas diagihkan kepada penduduk di 10 kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata bantuan difokuskan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang hilang punca pendapatan sepanjang tempoh berkenaan.

“Agihan dibuat melalui ketua kampung, ketua taman dan surau termasuk individu itu sendiri yang tampil ke pusat gerakan untuk memohon bantuan.

”Diharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan khususnya peniaga, penjaja kecil dan pekerja kontrak yang hilang mata pencarian,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya bersedia meneruskan agihan sumbangan sehingga tempoh larangan itu ditamatkan demi memenuhi keperluan rakyat setempat.

“Terdapat kemungkinan mereka yang menerima bantuan dari awal sudah kehabisan stok makanan asas, jadi kita kena sedia membantu mereka bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Perkara ini sedang dipantau oleh ketua kampung dan petugas sukarelawan yang turun ke lapangan bagi mendapatkan maklum balas daripada masyarakat,” katanya.


Pengarang :