Wong Siew Ki (kanan) mengedarkan kit Covid-19 kepada penduduk di sekitar Balakong bagi membendung penularan Covid-19 pada 19 April 2020. Foto ihsan FB Wong Siew Ki
ADNSELANGOR

10,000 Kit Lawan Covid-19 diagih di kawasan Balakong

SHAH ALAM, 23 APRIL: Lebih 10,000 Kit Lawan Covid-19 diagihkan kepada komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong sejak 19 April lalu, kata ahli dewan negerinya.

Wong Siew Ki berkata kit mengandungi topeng muka, sabun cecair, sarung tangan dan risalah berkaitan kebajikan Kerajaan Selangor sebagai meringankan beban penduduk sekali gus mengekang penularan wabak tersebut.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara memperuntukkan sebanyak 171,000 penutup hidung dan mulut untuk diagihkan kepada 42,750 keluarga membabitkan lima zon di kawasan ini.

“Bagi fasa pertama, agihan dibuat di Kampung Baru dan Kampung Tradisi manakala fasa kedua di flat kos rendah meliputi zon empat hingga zon lapan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan pengedaran kira-kira 3,000 kit lawan Covid-19 kepada kepada masyarakat setempat yang masih belum menerima bantuan itu.

“Kepada yang belum menerima kit ini, jangan risau dan jangan gusar, sila duduk di rumah kerana kami akan menghantar secepat mungkin, malah demi mengurangkan risiko semua pihak, kami bergerak dalam kumpulan kecil semasa mengagihkannya,” katanya.


Pengarang :