Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra pada 27 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

100,000 pelajar terkandas di kampus akan dibenarkan pulang

SHAH ALAM, 23 APRIL: Hampir 100,000 pelajar yang terkandas di kampus di seluruh negara akan dibenarkan pulang ke kampung masing-masing dalam masa terdekat ini, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya dan Kementerian Kesihatan sedang merancang proses membawa pulang pelajar terbabit.

“Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan. Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala Covid-19.

“Kepada anak-anak kita yang berada di kampus, insyaAllah dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, anda semua boleh pulang ke pangkuan keluarga,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen malam ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang mengkaji untuk memberi kebenaran satu kali perjalanan kepada masyarakat yang berada di kampung tetapi mahu pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat ini.

Jelasnya, kebenaran itu hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.

“Pergerakan ini tentunya melibatkan jumlah yang besar. Oleh itu, kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah terbaik untuk mengatur pergerakan.

“Mereka yang terlibat boleh mendaftar secara dalam talian di aplikasi disediakan polis atau membuat temu janji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata perjalanan mereka perlu diatur polis bagi mengelak berlakunya kesesakan jalan raya atau hentian di lebuh raya selain memastikan semua tidak bergejala Covid-19.


Pengarang :