Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

12 bekas pesakit derma plasma darah, bantu kajian Covid-19

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 12 bekas pesakit Covid-19 tampil menderma plasma darah masing-masing, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata darah mereka itu digunakan untuk tujuan rawatan pesakit yang menghidap penyakit tersebut.

Beliau berkata bagaimanapun sebelum KKM mengambil sampel darah, mereka akan diberikan sesi kaunseling dan diadakan ujian jangkitan kuman.

“Selepas itu, KKM akan rujuk mereka kepada Pusat Darah Negara untuk diambil darah bagi melaksanakan kajian rawatan menggunakan plasma darah,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kes positif pada segelintir bekas pesakit, Dr Noor Hisham berkata mereka yang dibenarkan pulang sebenarnya bersifat positif lemah.

Jelasnya, positif lemah adalah apabila pesakit dalam peringkat peluruhan virus iaitu ia tidak menjangkiti.

“Bila lihat ujiannya tidak banyak dan kebarangkalian untuk mereka dijangkiti semula adalah kurang manakala ada dua tiga pesakit kita kesan ia seolah-olah memberi kes positif tetapi sebenarnya dalam peringkat penumpahan virus, ” katanya.


Pengarang :