AGENSISELANGOR

12 premis di Petaling Jaya diperiksa, tiada belian panik

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor membuat pemeriksaan di 12 premis perniagaan di Petaling Jaya yang didakwa berlaku pembelian panik sehingga bekalan habis.

KPDNHEP dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu enam pasar raya terlibat iaitu Giant Amcorp Mall, Giant Kelana Jaya, Giant Sri Manja, My Mydin@Pak Grocer Sri Manja, Pasaraya Matahari dan Hero Mart Kelana Jaya.

“Hasil pemeriksaan didapati tiada berlaku pembelian panik dan kebanyakan barang masih ada stok yang cukup kecuali telur dan sardin agak berkurangan. Namun, stok itu dijangka tiba esok,” kata kenyataan itu.

Empat pasar raya besar Tesco Ara Damansara, Tesco Paradigm, Giant Kota Damansara dan Giant Kelana Jaya menunjukkan pelanggan masih membeli-belah seperti biasa manakala bekalan barangan juga mencukupi.

Namun, di Giant Kelana Jaya barangan seperti minyak masak, tepung dan roti perlu dihadkan pembelian kepada pelanggan susulan ia agak mendapat permintaan tinggi.

Sementara itu, KPDNHEP turut memantau dua pasar basah iaitu Pasar Jalan Othman dan Pasar Seri Setia dan didapati tiada pembelian panik serta barangan juga mencukupi.

Pada masa sama, hasil pemantauan Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut membuat pemeriksaan suhu kepada pelanggan sebelum memasuki pasar dan mengawal keadaan bagi memastikan jarak sosial dipatuhi.


Pengarang :