Anggota polis memeriksa surat pelepasan bekerja seorang pemandu ketika bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Ampang pada 1 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

13 akademi penjara jadi pusat tahanan pesalah ingkar PKP

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewartakan 13 akademi penjara di seluruh negara sebagai pusat menempatkan pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia diputuskan Kabinet susulan polis tidak lagi bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil serta gagal mematuhi arahan PKP, sekali gus bakal menyebabkan berlaku kesesakan di penjara sedia ada.

Katanya, langkah itu juga akan menyelesaikan isu penjarakan sosial yang dibangkitkan Jabatan Penjara Malaysia sebelum ini ekoran pusat tahanan di seluruh negara kini penuh sehingga melebihi kapasiti.

“Di pusat tahanan ini peraturan dan undang-undang sama seperti penjara biasa, bukan bermaksud bila masuk ke akademi penjara ada makanan mewah, tidak… ia tetap mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Perincian dari segi perundangan dan sebagainya akan dibincangkan polis, Peguam Negara dan Jabatan Penjara,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata polis menahan 612 individu yang ingkar PKP di seluruh negara semalam, selain 337 lagi telah dituduh di mahkamah atas kesalahan sama.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa PKP boleh dilanjutkan sehingga Jun ini, beliau berkata, keputusan mengenai perkara tersebut akan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan.


Pengarang :