Pasukan petugas kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

13 daerah masih dalam zon merah

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kelantan dan Kedah kini masing-masing hanya mempunyai lima kes aktif positif Covid-19, setakat jam 12 tengah hari semalam.

Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Perak dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan lapan kes aktif, manakala Labuan cuma dua kes.

“Zon hijau perlu kekalkan tempoh dua minggu tanpa sebarang kes baharu sebelum diisytiharkan bebas (Covid-19),” kata KKM di Twitter hari ini.

Menurut CPRC, sebanyak 13 daerah di seluruh negara masih berada dalam zon merah mengikut kes aktif positif Covid-19, manakala mengikut kumulatif kes pula zon merah kekal 30 daerah.

Kawasan 13 daerah zon merah mengikut kes aktif itu ialah masing-masing tiga di Kuala Lumpur dan Selangor, masing-masing dua di Johor dan Sarawak, manakala Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka masing-masing satu daerah.

Jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negara ketika ini adalah 5,780 dengan jumlah kes aktif adalah 1,820.

Lembah Pantai merekodkan kes aktif tertinggi iaitu 280, manakala Kuching kedua tertinggi dengan 177 kes aktif.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.


Pengarang :