AGENDANASIONAL

135 kes keganasan rumah tangga diterima dalam tempoh PKP

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sebanyak 135 aduan melibatkan keganasan rumah tangga diterima menerusi Talian Kasih di bawah Kementerian Wanita dan Keluarga (KWK) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata polis dan KWK meminta kerjasama orang ramai terutama jiran tampil melaporkan kes-kes keganasan rumah tangga menerusi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Saya sebenarnya mendoakan supaya rumah tangga kita semua aman dan damai walaupun sudah sebulan berada bersama di dalam rumah. Kalau ada perlakuan seperti ini (keganasan rumah tangga) tolong laporkan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, sebanyak 217 operasi nyahkuman meliputi 74 zon di 13 negeri dilakukan semalam iaitu 39 kawasan di Johor, 23 kawasan di Pahang dengan semuanya membabitkan 144 bangunan kerajaan, 97 tempat awam, 90 pusat perniagaan dan 20 pasar raya.

Sejak 30 Mac lalu sebanyak 2,088 operasi nyahkuman di 101 zon termasuk 27 zon merah dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Pengarang :