Penduduk di DUN Kuala Kubu Bharu menerima topeng muka sumbangan Nadma. Foto Facebook Lee Kee Hiong
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

14,600 keluarga di Kuala Kubu Bharu terima topeng muka

SHAH ALAM, 19 APRIL: Sejumlah 58,400 keping penutup hidung dan mulut sumbangan kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan diagihkan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ahli Dewan Negerinya Lee Kee Hiong berkata agihan kepada 14,600 isi rumah dibuat secara berperingkat bermula semalam.

“Sumbangan ini diterima menerusi Nadma pada Isnin lalu, sebelum kerja pengasingan dilakukan untuk diberi kepada setiap isi rumah di DUN ini.

“Surat kebenaran pergerakan dari pihak berkuasa diperoleh semalam, jadi pengagihan dilakukan secara berperingkat dengan 1,689 rumah menerima sumbangan setakat semalam,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kerajaan mengagihkan empat keping topeng muka kepada setiap isi rumah di seluruh negara bagi membantu aspek penjagaan kesihatan rakyat berikutan Covid-19.

Pengagihan membabitkan 24.6 juta topeng muka dikendalikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, Kee Hiong berkata pusat khidmatnya turut mengedarkan bantuan makanan asas kepada 1,300 keluarga yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19 sejak 18 Mac lalu.

“Minggu depan kami akan edarkan kepada 200 keluarga lagi. Terima kasih kepada 25 orang sukarelawan yang membantu pusat khidmat saya mengedarkan bantuan makanan asas ini,” katanya.


Pengarang :