Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia memeriksa suhu badan lapan jemaah tabligh dari Makassar dan Jakarta yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour pada 26 Mac 2020 sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,657 peserta tabligh Sri Petaling positif Covid-19

SHAH ALAM, 7 APRIL: Seramai 20,035 individu yang terlibat dalam perhimpunan tabligh Sri Petaling sudah disaring dengan 70 peratus mereka didapati negatif Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut, 13,744 negatif, manakala 4,634 lagi keputusannya masih belum diketahui.

“Seramai 1,657 kes positif Covid-19, termasuk ahli keluarga mereka,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang mengesan serta memantau sejarah keluarga mereka.

Ini kerana katanya, terdapat dua kumpulan berisiko tinggi berkaitan kluster tersebut iaitu anggota keluarga dan petugas kesihatan yang merawat mereka.

“Perkara ini dilakukan memandangkan terdapat 765 kes indeks untuk kluster Sri Petaling, yang kini sudah merebak kepada lima generasi.

“Generasi pertama 679 kes, kedua 180 kes, ketiga 19 kes, manakala keempat dan kelima masing-masing tujuh kes,” katanya.


Pengarang :