Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

17 rakyat Malaysia dikuarantin positif Covid-19

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 17 kes positif Covid-19 membabitkan rakyat Malaysia yang menjalani kuarantin wajib 14 hari, selepas pulang dari luar negara, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia menunjukkan langkah kerajaan mewajibkan setiap rakyat yang pulang dari luar negara dikuarantin 14 hari adalah tepat, walaupun kurang disenangi segelintir daripada mereka.

“Laporan KKM terdapat 17 kes positif dalam kalangan rakyat yang pulang dari luar negara, bayangkan kalau kita benarkan mereka terus pulang ke rumah atau kuarantin sendiri, pasti ahli keluarga mereka terdedah (dijangkiti Covid-19).

“Jika keluarga mereka keluar ke pasar, tentu wabak ini merebak lebih luas sehingga wujud kluster baharu luar negara.

“Sebab itulah kita perlu yakin bahawa setiap tindakan kerajaan adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Mengenai laporan ramai pelancong asing terkandas di negara ini sejak PKP dikuatkuasakan, beliau berkata, kerajaan tidak menghalang mereka terus tinggal di Malaysia, namun perlu menjalani saringan kesihatan jika mempunyai gejala Covid-19.

“Ramai pelancong selesa berada di Malaysia kerana yakin tindakan kerajaan melalui PKP mampu melindungi mereka.

“Saya difahamkan (mereka menginap) di Pulau Tioman, Langkawi, Cameron Highlands dan lokasi peranginan lain, mereka masuk sebelum PKP, kita tak halang, malah penerbangan pulang pun tak ada,” katanya.


Pengarang :