Pasukan petugas kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah anjuran Kerajaan Selangor secara percuma di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,835 individu lagi disaring menerusi Saringan Komuniti – MB

SHAH ALAM, 20 APRIL: Sejumlah 1,835 individu berjaya disaring dalam program Saringan Komuniti yang dikendalikan Selcare Clinic Sdn Bhd pada Sabtu dan Ahad, kata Dato’Menteri Besar.

Saringan itu melibatkan penduduk di Klang, Puchong Prima, Petaling dan Shah Alam.

“Saringan Komuniti telah dilaksanakan pada hari Sabtu dan Ahad dengan sejumlah 1,835 individu telah disaring.

“Saringan ini dilaksanakan dari rumah ke rumah, pandu lalu dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia serta dipantau pegawai kesihatan. Fokus adalah warga emas yang berisiko,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitternya hari ini.

Pada 11 April Kerajaan Selangor melancarkan Saringan Komuniti yang pertama kali di Malaysia, membabitkan pemeriksaan berskala besar bagi membendung Covid-19 di Hulu Langat.

Saringan itu membabitkan penduduk di Dewan Undangan Negeri Kajang, Sungai Ramal dan Dusun Tua.   Seramai 649 individu berjaya disaring dalam program dua hari pada 11 dan 12 April.

Semalam ketua pegawai eksekutif Selgate Healthcare, Dr Muaz Omar berkata Saringan Komuniti menyasarkan 5,000 ujian dilakukan sebelum Ramadan bagi mengesan individu yang dijangkiti mahupun pembawa Covid-19.

Beliau berkata pihaknya kini menunggu analisis pihak berkuasa untuk memilih lokasi bagi menambah jumlah pemeriksaan yang kini sudah melebihi 1,000 individu.

Selain itu, ujian saringan Covid-19 percuma secara pandu lalu turut dijalankan di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 dan disambung lagi hari ini selepas mendapat sambutan menggalakkan dalam tempoh dua hari lalu.


Pengarang :