AGENSI SELANGOR

1,878 amil bantu golongan kurang mahir teknologi tunai zakat

SHAH ALAM, 30 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik 1,878 penolong amil fitrah (PAF) di 431 masjid dan surau di negeri ini bagi memudahkan golongan kurang mahir teknologi menunaikan zakat sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata PAF sudah memulakan operasinya pada hari pertama Ramadan dengan dua sesi iaitu dari jam 9 hingga 11 pagi  dan dari 2 hingga 4 petang.

“Pelaksanaan kaedah manual ini tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang dibangunkan LZS mengikut panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, ia turut mendapat pandangan Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor serta polis,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut mengingatkan pengeluar zakat dan PAF supaya sentiasa menjaga kebersihan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Mereka juga digalakkan menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar selepas urusan pembayaran selesai,” katanya.

Pelaksanaan pembayaran zakat melalui PAF mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaras dengan hasrat baginda untuk memudahkan pengeluar zakat terutama warga emas.

Sebelum ini, kira-kira 90 peratus individu membuat pembayaran zakat melalui PAF di masjid dan surau.


Pengarang :