Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1MDB: AS$620 juta dipulangkan kepada Malaysia sejak 2018

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Malaysia setakat ini telah menerima sejumlah AS$620 juta (AS$1 = RM4.32) dari Amerika Syarikat (AS) sejak usaha mendapatkan semula aset-aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dimulakan pada Jun 2018, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

Dana itu termasuk AS$57 juta hasil penyelesaian dengan Red Granite Pictures (dikreditkan pada Mac 2019), AS$137 juta hasil jualan kepentingan Jho Low dalam Hotel Park Lane (dikreditkan pada April 2019) dan AS$126 juta hasil jualan kapal layar mewah, Equanimity oleh Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur (dikreditkan dalam akaun amanah pada Disember 2019).

Menurut Tengku Zafrul, transaksi terakhir membabitkan pengembalian dana sebanyak AS$300 juta yang dikreditkan pada April, merangkumi wang atau aset dikaitkan dengan 1MDB yang telah diperolehi semula dan dilucutkan atau diserahkan kepada Jabatan Kehakiman AS (DOJ).

“Usaha mendapatkan semula aset-aset berkaitan 1MDB masih dijalankan dan Kementerian Kewangan (MOF) akan terus memberi kerjasama penuh kepada semua entiti siasatan domestik dan luar bagi memastikan hasil positif semua usaha ini di masa depan,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan kerajaan Malaysia kepada kerajaan AS dan DOJ yang membabitkan usaha mendapatkan semula aset-aset milik Malaysia.

“Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur, khususnya Duta Besar Kamala Shirin Lakhdhir yang sentiasa berhubung rapat dengan MOF dan Jabatan Peguam Negara sejak beberapa minggu lepas.

“Semangat perundingan yang gigih itu telah memudahkan lagi usaha pengembalian wang berkenaan kepada rakyat Malaysia. Kita juga berterima kasih di atas sokongan oleh rakan-rakan di pelbagai negara yang membantu Malaysia mendapatkan semula aset-aset berkaitan 1MDB ini,” kata beliau.

– BERNAMA


Pengarang :