Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
SELANGOR

20 individu ditahan kes tipu belian dalam talian, rugi RM1.5 juta

SHAH ALAM, 13 APRIL: Polis Selangor membuka 144 kertas siasatan berkaitan penipuan penjualan penutup mulut dan hidung secara dalam talian membabitkan kerugian kira-kira RM1.5 juta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata sehingga semalam seramai 20 individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan tersebut.

“Kes berkaitan penutup mulut dan hidung menjadi kebimbangan masyarakat dan orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati membuat pembelian secara dalam talian.

“Ini kerana sindiket penipuan penutup mulut dan hidung kini bergiat aktif kerana permintaan yang tinggi daripada masyarakat sepanjang pelaksanaan PKP,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata tahap pematuhan PKP di Selangor ketika ini adalah 92 peratus dan sehingga semalam pihaknya menerima 1,546 laporan, dengan 962 kompaun RM1,000 dikenakan terhadap mereka yang ingkar.

“Sehingga semalam 837 kertas siasatan dibuka dan Polis Selangor juga menahan 1,730 individu yang mana 339 kes dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau turut mengesahkan menerima maklumat dalam bentuk rakaman video menunjukkan beberapa warga asing menyambut perayaan Songkran di negeri ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Pengarang :