Polis melakukan sekatan jalan raya di Kampung Sungai Lui, Batu 21 Hulu Langat pada 30 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan tersebut. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

200 kotak barang basah diedar kepada penduduk Hulu Langat

SHAH ALAM, 2 APRIL: Bekalan barang basah mula diedar kepada penduduk tujuh kampung di Hulu Langat semalam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah 200 kotak diperuntukkan untuk agihan bagi mengurangkan keresahan penduduk yang tidak dibenarkan keluar berikutan penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Keselamatan Negeri memastikan semua bekalan makanan dihantar pada hari pertama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kita tambah beberapa peruntukan seperti tuala pakai buang untuk orang tua dan kanak-kanak.

“Kita juga menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT), masjid dan surau mengumumkan sesuatu keperluan seperti kecemasan, kematian atau kebakaran,” katanya ketika diwawancara menerusi program Cendol Pak Ya anjuran Institut Darul Ehsan malam ini.

Amirudin berkata tempoh arahan sehingga 13 April hadapan boleh dipendekkan jika berlaku penurunan kes dengan syarat penduduk mematuhi arahan dan kekal berdisiplin.

PKPD bermula 30 Mac lalu membabitkan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24, Sungai Lui susulan nasihat Kementerian Kesihatan yang mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah.

 


Pengarang :