AGENSISELANGOR

2,000 ibu tunggal mohon bantuan nafkah Selangor – Jakess

SHAH ALAM, 23 APRIL: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menerima 2,000 permohonan Dana Bantuan Nafkah Sokongan Keluarga Selangor daripada ibu tunggal yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Unit komunikasi korporat agensi itu memaklumkan, jumlah permohonan itu diterima selepas tarikh permohonan ditutup pada 15 April lalu.

“Setakat ini kami masih memproses kesemua permohonan dan Jakess masih belum memutuskan tarikh tetap untuk menyalurkan bantuan berkenaan.

“Diharapkan pemohon bersabar dan kita akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 9 April lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan nafkah khas akan diberi kepada golongan ibu tunggal yang terkesan berikutan PKP.

Untuk itu, Jakess menguruskan bantuan nafkah khas sebanyak RM100,000 melalui peruntukan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor.

Bantuan berkenaan diberi kepada golongan berkaitan bagi meringankan beban kewangan mereka yang memfailkan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP.


Pengarang :