Selangorkini
Petugas kesihatan yang memakai sut peralatan perlindungan diri keluar selepas menjalankan saringan kesihatan ke atas penghuni Menara City One pada 1 April 2020 berikutan bangunan tersebut menjalani pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

224 kakitangan KKM positif Covid-19 – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 224 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan positif Covid-19 sehingga semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata siasatan mendapati punca jangkitan bukan daripada pengendalian di wad dan unit rawatan rapi (ICU) yang merawat penyakit tersebut.

“Daripada jumlah 224 staf KKM tersebut, sebanyak 150 kes adalah berpunca dari komuniti (termasuk daripada rakan sekerja yang disebabkan oleh jangkitan di komuniti).

“Sebanyak 41 kes pula mempunyai kaitan dengan pesakit, iaitu 29 kes daripada pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI), sembilan daripada pesakit tidak diketahui status sebelum rawatan diberikan dan tiga kes daripada aktiviti saringan dan lain-lain aktiviti di lapangan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 33 kes masih dalam siasatan, selain menegaskan KKM sentiasa memastikan aspek keselamatan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mencegah penularan wabak tersebut.


Pengarang :