AGENSISELANGOR

23 pasangan sudah dinikahkan secara sidang video

SHAH ALAM, 22 APRIL: Seramai 23 pasangan sudah dinikahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi sidang video dalam tempoh 48 jam lalu di negeri ini, kata ketua penolong pengarah bahagian undang-undang keluarga Jais.

Nik Suhaila Nik Hussin berkata jumlah itu membabitkan lapan di daerah Petaling, Sepang (tujuh), Sabak Bernam (empat), Kuala Selangor (tiga) dan Kuala Langat (satu).

“Jais akan melaksanakan pernikahan secara sidang video dengan mengutamakan dahulu pasangan yang mempunyai alasan kukuh, diikuti pasangan lain yang telah mendapat kebenaran khas pengarah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, beliau berkata, dalam tempoh dua hari selepas kebenaran majlis akad nikah menerusi sidang video diberikan, Jais sudah menerima sebanyak 437 permohonan.

“Permohonan tertinggi adalah dari daerah Hulu Langat sebanyak 101, diikuti Petaling (83), Klang (71), Kuala Selangor (36), Kuala Langat (27), Sepang (25) dan masing-masing 13 di Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Isnin lalu, Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata majlis akad nikah dalam tempoh PKP di negeri ini kini dibenarkan melalui sidang video, dengan syarat mendapat kebenaran khas Jais.

Beliau berkata garis panduan terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum, dilaksanakan dengan standard wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.


Pengarang :