AGENDANASIONAL

27 peratus pengguna sudah terima bekalan air

SHAH ALAM, 17 APRIL: Sebanyak 27 peratus akaun pengguna yang terjejas akibat penghentian operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) malam tadi telah pulih, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Berikutan itu, Abdul Halem Mat Som mengingatkan pengguna yang masih terjejas supaya mengekalkan jarak sosial satu meter sesama sendiri ketika mengambil bantuan bekalan air yang dihantar lori tangki.

“Peratusan akaun pengguna pulih itu diperoleh setakat jam 1 tengah hari tadi. Air Selangor sedang berusaha meminimumkan gangguan kepada pelanggan termasuk menghantar bekalan air.

“Sejak jam 6 pagi tadi, semua LRA telah beroperasi. Semua LRA sedang meningkatkan paras kolam imbangan bagi memastikan penyaluran air ke sistem agihan serta kolam perkhidmatan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Senarai lengkap kawasan terjejas boleh dirujuk di Facebook Air Selangor.

Malam tadi LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas bermula jam 11 malam berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Dalam sidang media hari ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pencemaran itu berpunca dari kolam ternakan ikan dan seorang pekerja kolam telah ditahan ketika serbuan dilakukan Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor.


Pengarang :