Anggota Tentera memeriksa beberapa premis di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 20 April 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

28 kes positif Covid-19 di Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 20 APRIL: Sebanyak 28 kes positif Covid-19 direkodkan di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 2,064 sampel sudah diambil melalui pengesanan kes aktif di kawasan itu, yang kini sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini.

“Seorang warga Myanmar datang ke Hospital Selayang dan ketika itu sudah di kategori empat, dan kemudian diintubasi (memerlukan alat pernafasan). Ujian swab dilakukan dan disahkan positif Covid-19.

“Disebabkan itu, kita perlu fokus di lokasi dan kumpulan sasar. Kumpulan berisiko tinggi yang disasarkan secara asasnya adalah di Pasar Borong Kuala Lumpur dan kita sudah ambil tindakan PKPD di kawasan itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menteri kanan ( kluster keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 3 Mei ini.

Katanya, PKPD keenam yang dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan itu membabitkan lapan parcel yang dikenal pasti.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata sebanyak 13,277 sampel ujian pengesanan Covid-19 sudah diambil hasil pelaksanaan enam PKPD secara berperingkat di 10 lokaliti sejak 27 Mac lalu.

“Daripada jumlah ini sebanyak 796 dikesan positif jangkitan wabak berkenaan,” katanya.

Kawasan yang dikenakan PKPD adalah Bandar Baru Ibrahim Majid, kawasan sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam; Kampung Sungai Lui dan kawasan sekitar Kampung Sungai Lui.

Menara Plaza City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion, Masjid India dan kawasan sekitarnya dan terkini, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur serta kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.


Pengarang :