AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

29,000 terima bantuan khas LZS secara berperingkat

SHAH ALAM, 1 APR: Seramai 29,000 pemohon Bantuan Khas Covid-19 Lembaga Zakat Selangor (LZS) layak menerima manfaat tersebut, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Saipolyazan M. Yusop berkata bantuan berjumlah RM14 juta dikreditkan terus ke akaun penerima secara berperingkat bermula 27 Mac lalu hingga 3 April ini.

“Seramai 9,000 penerima adalah asnaf fakir, miskin dan mualaf yang mendapat bantuan khas bulanan LZS, manakala 20,000 penerima lagi seperti penjaja dan peniaga kecil yang menerima bantuan maksimum sehingga RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saipolyazan berkata LZS turut mengagihkan RM1 juta kepada hospital kerajaan, pusat kesihatan daerah dan petugas barisan hadapan yang menangani Covid-19 serta bantuan makanan kepada pelajar institut pengajian tinggi di negeri ini.

Katanya, agensi itu juga menyalurkan bantuan bulanan RM30.5 juta kepada asnaf berdaftar selain memastikan 14,909 asnaf fakir dan miskin tidak terputus bekalan makanan sepanjang Covid-19.

Pada 21 Mac lalu, LZS mengumumkan peruntukan agihan khas berjumlah RM15 juta khusus untuk golongan penjaja, peniaga kecil dan pekerja B40.


Pengarang :