Wakil Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara mengedarkan penutup mulut dan hidung ke setiap rumah di sekitar kawasan berkenaan. Foto Facebook Ng Sze Han
EXCO SELANGOR

33,125 isi rumah di DUN Kinrara terima penutup mulut

SHAH ALAM, 28 APRIL: Sebanyak 132,500 keping penutup mulut dan hidung diedarkan kepada 33,125 isi rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara setakat semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Ng Sze Han berkata setiap keluarga di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana menerima empat keping penutup mulut dan hidung sumbangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Mereka yang belum menerima sumbangan boleh memaklumkan kepada pihak kami dan kami masih mempunyai beberapa kotak penutup mulut dan hidung disumbangkan orang ramai.

“Bagaimanapun, sekiranya ada penduduk yang sudah menerima bekalan daripada Nadma dan tidak menggunakannya boleh disumbangkan kepada keluarga lain yang lebih memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau yang juga EXCO kerajaan tempatan, pengangkutan awam dan pembangunan kampung baru turut menggesa orang ramai berganding bahu bagi memerangi penularan Covid-19.

“Tidak ada jalan penyelesaian yang sempurna semasa krisis (Covid-19), setiap orang harus saling membantu untuk mengurangkan kesannya,” katanya.


Pengarang :