AGENSISELANGOR

364 permohonan akad nikah sidang video di Selangor – Jais

SHAH ALAM, 21 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerima 364 permohonan untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video semalam, kata ketua penolong pengarah bahagian undang-undang keluarganya.

Nik Suhaila Nik Hussin berkata setiap permohonan terbabit dipertimbangkan terlebih dahulu berdasarkan alasan munasabah diberikan sebelum mendapat kebenaran khas Pengarah Jais.

Beliau berkata daripada jumlah itu setakat semalam, 13 permohonan mendapat kebenaran khas untuk akad nikah secara sidang video iaitu 10 di daerah Petaling dan tiga di Sepang

“Sesi pernikahan secara sidang video membabitkan tiga pasangan di Sepang berlangsung semalam manakala 10 lagi permohonan di Petaling yang mendapat kebenaran dijangka diselesaikan hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Suhaila berkata akad nikah secara sidang video pertama di negeri ini berlangsung di Sepang pada jam 2.30 petang semalam membabitkan pasangan Mohd Syukor Misman, 41 dan Fairina Jantan, 39.

“Pengantin lelaki berada di Serdang, pasangannya dan wali di kediaman di Giching, Sepang manakala pendaftar kanan bersama dua saksi berada di Pejabat Agama Islam Sepang yang mana pengesahan diri mereka turut dibuat sebelum sesi itu dimulakan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan sesi semalam, liputan telekomunikasi yang terhad menjadi antara cabaran bagi menjalankan proses akad nikah tersebut.

“Sebagai contoh, akad nikah pasangan ketiga di Sepang terpaksa diulang berkali-kali berikutan masalah liputan rangkaian telekomunikasi sebelum berjaya diselesaikan.

“Ini penting kerana kita perlu memastikan proses akad nikah itu berjalan mengikut hukum syarak yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu katanya, sesi akad nikah secara sidang video tetap diteruskan sepanjang Perintah Larangan Pergerakan (PKP) fasa ketiga biarpun memasuki Ramadan.

“Kita tiada masalah jalankan sesi ini ketika Ramadan, selagi PKP belum ditamatkan. Namun kita nasihatkan pasangan tidak melanggar PKP dengan alasan untuk berkahwin bagi merentas antara negeri,” katanya yang turut memaklumkan slip perakuan nikah sementara akan diberikan kepada pasangan dalam bentuk pdf.

Semalam Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata majlis akad nikah dalam tempoh PKP di negeri ini kini dibenarkan melalui sidang video, dengan syarat mendapat kebenaran khas Jais.

Beliau berkata garis panduan terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum, dilaksanakan dengan standard wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.


Pengarang :