Bas Smart Selangor membawa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara ke pusat kuarantin yang disediakan. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

45 hotel bertaraf lebih tiga bintang jadi pusat kuarantin

SHAH ALAM, 7 APRIL: Sebanyak 45 hotel bertaraf lebih tiga bintang dijadikan pusat kuarantin untuk individu yang tiba dari luar negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kos yang ditanggung kerajaan untuk penginapan di situ hanya RM150 sehari manakala selebihnya ditanggung individu yang dikuarantin.

“Kerajaan hanya membiayai kos penempatan setiap individu terhad kepada RM150 sehari sahaja, manakala mereka yang memilih untuk dikuarantin di hotel yang melebihi kadar itu, perlu menanggung kos selebihnya,” katanya pada sidang media Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas mengenai isu tular berkaitan kerajaan pilih kasih penempatan pusat kuarantin di hotel empat dan lima bintang, Ismail Sabri menjelaskan ia adalah atas permintaan individu yang memilih sendiri mahukan hotel sebagai penempatan sementara mereka.

Justeru, beliau berkata kerajaan mewujudkan hotel sebagai pusat kuarantin selepas menerima permohonan daripada pihak kedutaan memandangkan tiada pengecualian terhadap mana-mana individu yang pulang dari luar negara untuk dikuarantin.

“Ini termasuk diplomat asing yang pulang ke Malaysia dan memohon untuk tinggal di hotel dan ada akan dibayar oleh kedutaan masing-masing atau ada juga sanggup membayar sendiri,” katanya.

Jelasnya, walaupun individu tersebut dikuarantin di hotel tatacara operasi piawai masih sama iaitu mereka tidak dibenarkan keluar atau menerima pelawat.


Pengarang :