AGENSISELANGOR

500 ibu tunggal mohon bantuan nafkah khas Selangor -Jakess

SHAH ALAM, 11 APRIL: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menerima 500 permohonan bantuan nafkah khas kepada golongan ibu tunggal yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut unit komunikasi korporat agensi itu, pihaknya akan menguruskan bantuan nafkah itu sebanyak RM100,000 di bawah peruntukan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban kewangan kepada mereka yang telah memfailkan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP dikuatkuasakan.

“Kes mereka yang tidak dapat diselesaikan oleh Mahkamah Syariah menyebabkan usaha golongan ini mendapatkan hak di mahkamah tergendala sehingga terpaksa menanggung beban kewangan menyara anak di bawah jagaan mereka,” katanya.

Pada 9 April lalu Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan nafkah khas kepada golongan ibu tunggal yang terjejas susulan PKP.

EXCO Kebajikan Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook berkata bantuan kendalian Jabatan Kehakiman Syariah Selangor boleh dimohon mengikut syarat berikut:

1. Ibu tunggal warganegara Malaysia beragama Islam
2. Pendapatan kurang RM2,500 atau tidak tetap dan terjejas akibat PKP
3. Tinggal di Selangor tidak kurang tiga tahun
4. Bercerai dan memiliki sijil cerai
5. Mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah atau tidak lebih 21 tahun
6. Sudah memfailkan tuntutan nafkah
7. Bukan penerima pendahuluan nafkah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah negeri

Permohonan secara dalam talian boleh dibuat melalui https://bit.ly/34tA2f9 sehingga 15 April ini.


Pengarang :