Petugas Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melakukan proses nyah kuman di sekitar Kampung Sungai Kantan, Kajang pada 10 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

83 individu di Kajang dicari untuk saringan Covid-19

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kerajaan Selangor hari ini melakukan saringan rumah ke rumah ke atas individu tertentu di Kajang bagi membendung penularan Covid-19, kata Ahli Dewan Negeri Kajang.

“Saringan akan dibuat hari ini ke atas 83 individu di pusat bandar Kajang dengan kerjasama Jabatan Kesihatan. Kita akan dapatkan alamat dan cari mereka,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi hari ini.

Namun, beliau yang juga EXCO negeri meminta orang ramai di kawasan berkenaan tidak panik dan kekal duduk di rumah kerana proses itu hanya pemeriksaan.

Hari ini, Kerajaan Selangor memulakan saringan dari rumah ke rumah, pertama kali di Malaysia membabitkan proses itu secara beramai-ramai dalam satu masa.

Seramai 48 petugas hospital swasta terlibat dengan sasaran 400 hingga 500 saringan dibuat sehari.

Dalam isu berkaitan, Hee berkata Sungai Ramal dan Dusun Tua mencatatkan peningkatan paling tinggi kes positif jangkitan Covid-19 di Kajang setakat ini.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menunjukkan ada 134 kes positif Covid-19 di Kajang, menjadikan kawasan itu paling tinggi dilanda wabak dengan Hulu Langat dikategorikan sebagai zon merah.


Pengarang :