ADNSELANGOR

ADN sumbang barang keperluan asas, baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 7 APRIL: Sebanyak 2,200 pek barang keperluan asas dan baucar Jom Shopping diberikan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ahli Dewan Negerinya, Dato’ Teng Chang Khim berkata agihan itu dilakukan secara berjadual bermula sejak 1 April lalu membabitkan keluarga di lima pangsapuri kos rendah.

Antara pangsapuri terlibat ialah Pangsapuri Mawar Cempaka, Bandar Baru Klang; Pangsapuri Dahlia, Bandar Baru Klang; Pangsapuri Pelangi Indah, Jalan Pekan Baru; Pangsapuri Permai Bukit Kuda dan Pangsapuri Rebana, Bandar Bukit Raja.

“Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka kerana sukar mendapatkan bekalan makanan asas berikutan perintah PKP.

“Semua juga berharap penduduk bukan sahaja di DUN ini malahan seluruh rakyat Selangor supaya ambil langkah berjaga-jaga, duduk rumah agar wabak Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan kepada mereka yang mempunyai simptom Covid-19 agar segera membuat pemeriksaan di klinik atau hospital berhampiran.


Pengarang :