Dato’ Seri Amirudin Shari melangkah masuk ke ruang sidang media untuk membuat pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

ADN terima peruntukan khas, makanan percuma untuk petugas media

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM30,000 kepada semua 56 Ahli Dewan Negeri (ADN) menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan khas kali kedua itu bagi memenuhi keperluan semua yang bekerja sebagai satu pasukan.

Beliau berkata pihaknya turut memperuntukkan RM6.91 juta bagi pemimpin setempat menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Ahli-ahli majlis, Ketua Kampung Tradisi, Pengerusi MPKK Kampung Baru, Ketua Komuniti juga akan disalurkan peruntukan khas dari PBT masing-masing kecuali Majlis Daerah Sabak Bernam yang akan disalurkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya ketika pengumuman di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar hari ini.

Selain itu, sejumlah RM100,000 diperuntukkan untuk menyediakan makanan percuma kepada petugas media dan keselamatan.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 berjumlah RM272.5 juta yang diumumkan Amirudin bertujuan menyerap impak sosial ekoran lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini susulan penularan wabak Covid-19.


Pengarang :