Kakitangan Kementerian Kesihatan menyimpan sampel saringan ketika tinjauan pada 2 April 2020 berikutan beberapa penghuni di Flat PKNS Kampung Baru, Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ahli petugas Covid-19 Selangor bangunkan ubat antivirus

SHAH ALAM, 26 APRIL: Pengerusi Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan salah seorang ahli pasukannya sedang membangunkan ubat antivirus bagi melawan wabak Covid-19 yang masih menjejaskan kehidupan seluruh penduduk dunia.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kajian berkenaan dilakukan Dekan Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Temu bual dengan Dr Dzulkefly Ahmad di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Terdapat dua cara untuk memusnahkan Covid-19 iaitu menerusi vaksin ataupun antivirus, tetapi untuk membangunkan vaksin ia mungkin memakan masa 12 hingga ke 18 bulan, jika vaksin lambat, kita ada antivirus.

“Ia sedang dibangunkan Prof Adeeba dan antivirus yang sedang dikaji itu mekanismenya bertindak sedikit sama terhadap SARS-CoV-2 atau Covid-19, marilah kita doakan supaya pasukan Adeeba berjaya menjalankan kajian ke atas ubat antivirus berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Talkshow Anak Muda 2020 yang dikendalikan Ahli Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasir menerusi Facebook malam tadi.

Turut sama dalam rancangan bual bicara itu ialah Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii dan pakar perubatan dari Jakarta, Dr Iskandar R. Budianto.

Pada 10 Mac lalu, STFC ditubuhkan untuk memantau dan mencegah penularan wabak Covid-19 di Selangor.

Selain Dzulkefly dan Adeeba, pasukan petugas itu turut dianggotai Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choong, Datuk Dr Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr Yap Wei Aun.


Pengarang :