AGENDANASIONAL

Akhbar The Edge Financial Daily henti operasi cetak hari ini

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Akhbar The Edge Financial Daily menuruti jejak langkah akhbar Malay Mail dengan memberhentikan edisi cetakannya selepas beroperasi selama 13 tahun hari ini, dan menumpukan sepenuhnya kepada edisi digital.

Akhbar yang dilancarkan pada 22 Mei 2007 itu terkenal dalam kalangan “orang ekonomi” dan dikatakan menerima tempias berikutan pandemik Covid-19, namun langkah pendigitalan dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk terus bertahan dalam industri media negara.

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ho Kay Tat serta Ketua Pengarang Azam Aris dalam satu nota kepada pembaca bertajuk ‘FD says goodbye after 13 years’ berkata, akhbar itu pada mulanya terus bertahan biarpun pernah terkesan dengan krisis ekonomi global dan kes penggantungan operasi pada 2015.

“Sedihnya, FD (Financial Daily) tidak dapat terus bertahan lagi dalam mengharungi cabaran peralihan kepada berita digital dan sekatan pergerakan semasa yang dilaksanakan dalam membendung penularan wabak Covid-19, yang turut memberi kesan kepada ekonomi.

“Sehubungan itu, ini akan menjadi cetakan terakhir FD, namun ia tidak akan menjadi berita terakhir yang akan dihasilkan oleh para pemberita kita untuk anda,” menurutnya.

Selain akhbar mingguan The Edge yang akan beroperasi seperti biasa, laman web www.theedgemarkets.com juga akan kekal memberikan maklumat terkini mengenai keadaan ekonomi semasa.

“Jadi lihatlah setiap pagi dan sepanjang hari, saluran ini bagi mendapatkan berita mutakhir dari wartawan kami,’ kata mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya berkata keputusan penghentian cetakan ini merupakan satu lagi episod duka dalam sejarah kewartawanan Malaysia.

“… saya rasa sekatan perjalanan (Covid-19) memberikan tekanan hebat kepada mereka (The Edge Media Group). Susulan sekatan perjalanan, orang ramai tidak lagi membeli surat khabar, kerana mereka perlu duduk di rumah.

“Bagaimanapun media ini bukannya berhenti terus, mereka hanya menghentikan cetakan surat khabar, dan beralih kepada laporan berita dalam talian. Saya berpandangan masa depan media berita akan bertumpu kepada dalam talian, yang merupakan perkembangan yang baik dari satu segi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa sama, beliau turut menitipkan penghargaan kepada akhbar itu yang sekian lama berjasa kepada komuniti ekonomi biarpun edaran hariannya tertumpu di Lembah Klang sahaja.

“Saya berdoa yang terbaik buat mereka dalam mengharungi perjalanan di masa depan, dan diharapkan komuniti perniagaan akan terus memberikan sokongan kepada The Edge,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial turut mendapati berita itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan komen sedih berbaur kecewa.

Seorang pembaca dikenali sebagai Beeja menulis: “Terima kasih The Edge terhadap sumbangan dan perkhidmatan hebat anda kepada komuniti industri kewangan. Anda menjadi akhbar pertama yang disemak terlebih dahulu sebelum memulakan kerja setiap hari.

“Anda sepatutnya mendapat penghargaan tinggi terhadap kualiti laporan yang baik, tidak berat sebelah dan berpendirian yang tegas lagi berani.

TK Low pula menulis : “Tiada yang lebih teruja daripada membaca dengan penuh penghayatan … akhbar dalam kewujudan secara fizikalnya memberikan interaksi untuk dibaca..”.

Seorang pengguna Facebook Jasper Tan pula menulis: “Amat sedih melihat perkara ini berlaku terhadap The Edge. Diharapkan mereka akan bertambah cemerlang di masa hadapan di media digital,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :