BUDAYARENCANA

Balapan Masa

Oleh Ilya Alias

 

DIA homo sapiens yang suka berlari. Lariannya sangat luar biasa dan melangkau segala sempadan masa. Barangkali dia memiliki genetik Chrono-Impairment, dan mindanya sendiri seperti kapal angkasa Naboo. Tetapi lebih menarik, dia boleh memilih masa untuk dilawati dengan hanya memejamkan mata dan mula berlari. Setiap kali dia berlari ke dimensi yang dipilih, dia akan melihat jam pasir yang sentiasa terjuntai di pinggang. Jam pasir yang bergerak seiring dengan kualiti masa. Kehidupannya laju bagaikan libasan seekor buaya paling besar yang mampu menghancurkan rangka manusia sekelip mata. Seumur hidup, jauh sekali dia menikmati rasa seperti siput babi yang merangkak. Berlari persis nyawa dan dia tidak membenarkan sehelai lalang pun tumbuh dan berakar dalam darahnya kerana setiap lariannya ke dimensi lain akan membuka jiwa yang lebih besar.

Dia ada seorang nenek yang trauma sehingga gila apabila diperkosa puluhan tentera Jepun di kamar paling gelita ketika Perang Dunia Kedua. Sungguh, dia tidak pernah kenal kerana wanita tua itu sudah berada di alam seberang. Cerita langka itu dikisahkan ibunya ketika lewat tidur dan melekat sehingga membenihkan keinginannya untuk berlari ke sempadan masa tiga hari dalam bulan Ogos tahun 1945 yang tidak akan hilang dalam sejarah peperangan nuklear dunia. Dia berlari laju-laju melihat pasca kehancuran yang dihadiahkan Amerika Syarikat melalui Little Boy dan Fat Man. Ketika dia sampai di sana, lariannya kian kencang apabila melihat susuk-susuk roh manusia bergentayangan di udara, korban virus hasad negara terkaya dunia. Rata-ratanya terpasung oleh masa – kerana dendam kesumat dari ledakan maha besar yang membunuh kira-kira 75,000 nyawa, masih belum lunas. Bahkan, bayangan cendawan asap yang menerjah udara setinggi sebelas batu dari hipopusat masih berulang kali hadir dalam laman sejarah mereka. Pandangan mereka yang menakung dendam seolah-olah mampu menerobos ke segenap inci soldadu dunia yang kini memperkosa sejarah tamadun paling agung dunia. Lantas, dia terus berlari ke muka bandar Chernobyl yang meneguk ludah sendiri apabila Loji Nuklear Chernobyl bocor dan memberikan kejutan seratus kali ganda malapetaka daripada kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki.

Keghairahannya berlari menghumbankannya ke episod peralihan kuasa di Malaysia, saat seorang Perdana Menteri diangkat memikul tanggungjawab tersebut kembali selepas bersara, dan seluruh negara bagaikan tidak tidur, meredah siang dan malam semata-mata untuk mengetahui keputusan pilihan raya yang bakal termaktub dalam sejarah negara. Legasinya bagaikan memercikkan api dari bara lama, tetapi rakyat masih waras untuk tidak mengulangi peritiwa hitam 13 Mei 1969. Ingatannya pada tarikh 1969 membuatkan otaknya menggelegak dan mahu bersepai. Dia salah seorang daripada mereka yang diminta berkurung kerana perbalahan kaum dan kehancuran perpaduan yang kian menipis dalam jati diri rakyat, sekali gus mendekatkan kembali igauan Perang Dunia pertama dan Perang Dunia kedua. Memori yang terukir rapat pada deretan generasi tidak mungkin hilang persis selut yang menyalut kaki, ke mana pergi, baunya tetap menusuk.

Hari itu dia tiada selera makan apabila melihat beberapa kumpulan manusia berpakaian serba kelabu dan pudar warna menguis sisa dari jalanan, cepat-cepat mengunyah baki makanan dari tong sampah sebelum sempat diangkut majlis bandaran. Seperti ada batu yang berat di bahu dan tekak sehingga dia tidak dapat mengujarkan walau sepatah kata. Dia terus berlari sehingga jiwanya dibawa ke tebing Kemboja dan Gaza. Mereka dua koloni yang berbeza; pelupusan etnik serta peperangan agama. Dia berlari sambil menarik cebisan-cebisan daging manusia yang bertebaran di jalan dan sama-sama mengumpul perca-perca pakaian yang boleh dicantumkan semula agar dapat disatukan menjadi alas tidur. Dia berlari di sela-sela mortar yang membedil bangunan sehingga ranap dan membenamkan lolongan manusia sehingga udara menjadi debu dan kabur. Asap menjadi udara dan air liur jadi pengganti makanan. Dia berlari dengan mata yang terbuka luas tanpa sekelumit cahaya. Bedilan tanpa henti yang kejam, dan Gaza adalah bayangan Chernobyl. Hitam pekat.

Rentetan lariannya menerjah ruang masa dunia tahun 2001 hingga 2004. Secara peribadi, dia golongkan Jack Ma sebagai lelaki genius dengan strategi pemasaran Ali Baba yang mampu bertahan ketika dunia dilanda Sistem Pernafasan Akut Teruk pada tahun-tahun tersebut. Wabak ini telah mengorbankan ratusan manusia di seluruh dunia. Dia berlari lebih laju saat gelung masanya berputar dan kembali jauh ke medium kehancuran apabila Spanish Flu 1918 menguji barisan perubatan dengan mengorbankan ribuan soldadu dan rakyat hingga terpaksa dibiarkan bergelimpangan tanpa bantuan perubatan kerana tidak mencukupi dan katilnya berganti mayat tanpa henti. Lariannya tidak pernah surut. Dia terus berlari sehingga memasuki dunia realiti yang kian runcing.

Pada saat ini, dia berlari sambil melirik pada senyuman ibu yang tersemat di jiwa setelah seminggu mengasingkan diri ke dunia paling abadi. Dia menyentuh nafas-nafas sengsara yang lahir dari mulut-mulut pejuang barisan utama yang kental mematikan serangan Covid-19, virus mutasi yang menjadi pandemik dan meragut ribuan nyawa di seluruh dunia. Pasaran saham global merudum, meningkatkan angka para muflis melebihi kematian hakiki. Dia berlari laju melewati kawah besar yang dikorek jentera gergasi untuk menghumbankan jasad-jasad yang kaku tanpa nadi kerana tidak ada seorang pun berani menyentuh jasad tersebut tatkala virus masih hinggap di tubuh. Dia terkesima melihat kepantasan virus ini menyalut ketakutan ke segenap pelusuk dunia.

Dia terus berlari kencang dan pasir di dalam balang kaca jatuh lebih pantas. Lariannya laju, mengalahkan kelajuan memori yang sentiasa hadir dalam nurani saban hari. Tiba-tiba, langkahannya terhenti di muka hospital, yang terpampang sehelai nota, “Sukarelawan vaksin Covid-19 diperlukan segera”. Nafasnya tercungap-cungap dan lariannya terhenti apabila dia sudah bersedia di atas katil kecil untuk memulakan kehidupan sebagai bahan uji kaji. Dia berjanji tidak mahu berlari lagi terutamanya apabila presiden negara paling angkuh menyatakan perintah berkurung diri dan tidak mahu bertemu sesiapa sehingga pandemik ini sirna kerana negaranya mencatat jumlah kematian tertinggi dunia. Dan, jam pasirnya seolah-olah mati tanpa isi.

 


Pengarang :