Jamaliah meninjau salah sebuah rumah yang terjejas teruk akibat banjir kilat di Kampung Chempaka semalam. Foto ADN Bandar Utama
ADNSELANGOR

Banjir kilat di Kampung Chempaka, 20 rumah terjejas

SHAH ALAM ,17 APRIL: Hampir 100 mangsa melibatkan 20 rumah terjejas teruk susulan banjir kilat di kawasan Kampung Chempaka (PJU1/4) dan SS4D/10 semalam, kata ahli dewan negeri Bandar Utama.

Terkilan musibah berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Jamaliah Jamaluddin berkata punca utama kejadian disebabkan keadaan tebing sungai Sungai Kayu Ara yang lemah.

Beliau berkata pihaknya bersama Kerajaan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor telah berjaya memastikan dana bagi projek naik taraf tebing sungai itu diluluskan.

“Namun, ia masih di peringkat awal kerana ini adalah projek mega bernilai RM20 juta dan proses penaiktarafan mungkin mengambil masa dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya dan Ahli Parlimen Damansara (Tony Pua) akan mencari alternatif bagi membantu mangsa.

Pada masa sama, Jamaliah berkata pihaknya juga mendapat aduan banjir kilat yang turut berlaku di beberapa kawasan lain seperti Damansara Kim (SS20) dan SS25/41.

 


Pengarang :