Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar selepas penyerahan bantuan bekalan makanan, penutup muka dan cecair pembasmi kuman di Pusat Komuniti Jawatankuasa Penduduk Zon 6, Batu Caves pada 4 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
NASIONAL

Bantuan RM500, ikut senarai peniaga sedia ada – MB

BATU CAVES, 4 APRIL: Rekod senarai peniaga dan penjaja sedia ada mencukupi untuk Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM500 seperti diumumkan pada fasa pertama Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pemohon boleh menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing untuk semakan dan mendapatkan keterangan lanjut bermula 8 April ini.

“Mereka (peniaga) boleh mendaftar dan semasa pendaftaran mereka perlu mengemukakan beberapa butiran seperti nombor akaun bank sebelum sumbangan disampaikan,” katanya pada sidang media di pejabat jawatankuasa penduduk (JKP) Zon 6 hari ini.

Semalam Kerajaan Negeri mengumumkan terma dan syarat pemberian insentif RM500 sekali bayar kepada peniaga terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  bagi mengekang penularan Covid-19.

Permohonan dalam talian boleh dibuat di www.selangorprihatin.com dengan hanya mengemukakan nombor kad pengenalan.

Pemohon yang layak perlu mengisi maklumat peribadi termasuk nombor akaun bank bagi urusan pembayaran.

Berdasarkan rekod pemilikan lesen, terdapat 51,000 peniaga aktif daripada jumlah 80,000 peniaga di negeri ini.


Pengarang :