Bas Smart Selangor membawa rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara ke pusat kuarantin yang disediakan. Foto Twitter Amirudin Shari
EXCOSELANGOR

Bas Smart Selangor masih bawa rakyat Malaysia ke pusat kuarantin

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan Negeri masih menyediakan 20 buah Bas Smart Selangor untuk membawa rakyat Malaysia dari luar negara ke pusat kuarantin seluruh negeri sepanjang fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata perkhidmatan bas beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam bergantung kepada permintaan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

“Sekiranya ada rakyat Malaysia yang balik dari luar negara dan perlu dihantar ke stesen kuarantin, Bas Smart Selangor akan hantar mereka ke sana,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada pemandu bas yang menjalankan tugas secara profesional.

“Tugas pemandu bas berisiko, namun mereka kekal bersemangat dan sanggup berkorban demi rakyat dan negara,” katanya.

Pada 3 April lalu, Bas Smart Selangor memulakan misi membawa rakyat Malaysia yang tiba dari Chennai, India ke pusat kuarantin.

Langkah tersebut susulan arahan Kerajaan Persekutuan meminta semua warga Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Lapangan Terbang Subang untuk menjalani kuarantin di tempat khas selama 14 hari bagi mengekang penularan Covid-19.

Pusat kuarantin di Selangor antaranya Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh, Institut Latihan Islam Malaysia Bangi, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan Bangi, Pusat Akademik Bomba Kuala Kubu Bharu, Hotel Fox Lite D’Pulze Cyberjaya, Hotel Qliq Damansara dan Hotel Sunway Clio.


Pengarang :