AGENSISELANGOR

Bayar zakat secara dalam talian hingga pagi raya sah – LZS

SHAH ALAM, 28 APRIL: Pembayaran zakat fitrah secara dalam talian yang dibuat pada hari terakhir Ramadan atau pagi hari raya Aidilfitri adalah sah, kata Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pengurus perundingan zakat LZS, Hamizul Abdul Hamid berkata tidak timbul isu zakat yang dibayar itu tidak sah hanya kerana resit dikeluarkan LZS dalam tempoh lapan hari selepas pembayaran.

“Proses lapan hari itu (untuk resit) hanya bersifat teknikal. Bila zakat dibayar pada malam raya atau pagi hari raya, maka ia sudah dikira sah.

“Ini kerana zakat diambil kira perbuatan diri muzakki (pembayar zakat) yang mencukupi rukun iaitu niat bayar zakat fitrah dan wujud perpindahan harta daripada muzakki kepada LZS.

“Maknanya bila tekan butang atau klik ‘bayar’ pada paparan skrin telefon bimbit maka berlaku pemindahan wang daripada akaun pembayar ke akaun LZS, kemudian diikuti kata ‘pembayaran berjaya’, selepas itu ibadah zakat fitrah sah,” katanya dalam kenyataan di Facebook LZS semalam.

Hamizul menggalakkan orang ramai membuat pembayaran zakat fitrah secara dalam talian tanpa perlu ada rasa bimbang.

Kadar zakat fitrah yang ditetapkan di Selangor RM7 seorang, ia selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di Selangor.

Agensi itu sebelum ini mengumumkan bayaran zakat fitrah secara dalam talian sepanjang PKP menerusi laman EZakatPay atau perbankan internet di sembilan bank, selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.


Pengarang :