Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 6 Mei 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Bazar Ramadan batal, PBT sedia pulangkan deposit permit

SHAH ALAM, 3 APRIL: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor sedia memulangkan bayaran fi permit bazar Ramadan susulan keputusan Kerajaan Negeri membatalkan penganjurannya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dato’ Abd Hamid Hussain berkata peniaga di kawasan pentadbirannya boleh membuat tuntutan semula bayaran selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“MPAJ menyediakan 1,410 unit petak bazar Ramadan membabitkan 23 lokasi di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pandan Indah, Teratai, Hulu Kelang, Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya. Daripada jumlah itu, 459 unit sudah terjual meliputi 443 peniaga.

“Kita masih belum fikir langkah boleh diambil, bagaimanapun kita tunggu PBT lain bagaimana mereka laksanakan bazar Ramadan (sama ada secara dalam talian atau sebaliknya),” katanya.

Sementara itu yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya belum mengutip sebarang bayaran fi permit peniaga bazar Ramadan untuk tahun ini.

“Berikutan pengumuman Dato’ Menteri Besar bahawa tiada bazar Ramadan tahun ini, jadi kita akan membatalkan semua perniagaan. Justeru, bagi memastikan tiada operasi perniagaan bazar Ramadan berlangsung, kita akan mengarahkan jabatan penguat kuasa membuat pemantauan berterusan,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohamad Zain A Hamid berkata pihaknya bergantung sepenuhnya pada keputusan Kerajaan Negeri sama ada melaksanakan jualan bazar secara dalam talian atau sebaliknya, namun akan memulangkan kembali wang peniaga yang sudah membuat pembayaran permit.

Pada 1 April, Dato’ Seri Amirudin Shari memutuskan semua bazar Ramadan di Selangor dibatalkan buat masa ini susulan penularan Covid-19. Namun keputusan itu mungkin akan diubah bergantung kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Pengarang :