SHAH ALAM, 10 APRIL: Hasil bedah siasat Institut Perubatan Forensik Negara berpandukan analisis Tindak Balas Berantai Polimeras Masa Nyata (rt-PCR) mendapati virus kekal pada permukaan jenazah mangsa Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penemuan baharu itu selaras keputusan Kementerian Kesihatan sebelum ini yang mencadangkan pengurusan jenazah Islam hanya ditayamum pada permukaan beg mayat manakala upacara keagamaan dan tradisi mayat bukan Islam juga sedemikian.
“Keputusan itu juga sebelum ini dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 15 Mac lalu, serta Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac lalu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Bedah siasat itu dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342.
Pada 16 Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata jenazah mangsa Covid-19 hanya ditayamum atas balutan plastik berdasarkan muzakarah berkaitan hukum pengurusan mayat pesakit ebola.