AGENSISELANGOR

Bekalan air di tujuh wilayah capai 97 peratus pulih – Air Selangor

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Proses pemulihan bekalan air di tujuh wilayah yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual semalam berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor, telah mencapai 97 peratus, setakat 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata bekalan air di kebanyakan kawasan pulih sepenuhnya kecuali 54 kawasan di tiga wilayah sedang dalam proses pemulihan.

“(Daripada tiga wilayah yang mengalami gangguan bekalan air) status pemulihan untuk Gombak ialah 99 peratus, Klang/Shah Alam (92 peratus) dan Kuala Langat (51 peratus),” menurut Air Selangor.

Air Selangor berkata usaha menstabilkan bekalan air dalam sistem agihan sedang dilakukan untuk mempercepat proses pemulihan.

“Sebungan itu, Air Selangor meminta kerja sama pelanggan yang telah menerima bekalan air supaya menggunakannya secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar di kawasan yang masih terjejas.

“Bekalan air akan terus dihantar ke kawasan terjejas sehingga bekalan air pulih,” kata kenyataan itu.

Air Selangor akan menyalurkan status terkini menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

-BERNAMA


Pengarang :