Orang ramai membeli barangan keperluan harian di kedai runcit Eka Barona ketika tinjauan di kawasan Pandan Jaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada 22 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan makanan, hasil pertanian cukup semasa PKP

MELAKA, 3 APRIL: Rakyat tidak perlu khuatir atau risau tentang bekalan makanan dan hasil pertanian, kerana ia dijamin mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha agar rantaian pemasaran bekalan makanan dan hasil pertanian negara tidak terputus atau terganggu, dengan memastikan lori penghantaran dapat menghantar barangan tersebut, pada masa ditetapkan.

“Kita mendapat kerjasama daripada pihak penguat kuasa, khususnya yang terlibat dalam sekatan jalan raya sepanjang PKP, untuk memberi laluan mudah pada lori penghantaran bekalan makanan, supaya bekalan ada di pasaran.

“Justeru tidak perlu bimbang dengan membuat pembelian panik atau membuat stok makanan di rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Jualan Barangan Segar Terkawal, di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah FAMA Melaka, Che Samudin Hassan.

Beliau berkata, pihaknya juga memastikan semua produk atau hasil pertanian, penternakan dan perikanan, khususnya daripada petani, penternak dan nelayan persendirian,  terus dapat dipasarkan bagi mengelak lambakan, selain mempertingkat bekalan sedia ada.

Sementara itu Ahmad berkata, setakat ini sebanyak 47 daripada 97 pusat jualan barangan segar terkawal FAMA, telah dibuka di seluruh negara, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan barangan dapur, pada harga berpatutan.

“Tahniah kepada FAMA sebagai satu daripada agensi yang menjadi penggerak pada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dalam usaha kita memastikan bekalan makanan mencukupi khususnya dalam menghadapi wabak Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :