Pengusaha syarikat perkhidmatan papan tanda dan percetakan Muhammad Zul Affendi tekun menyiapkan kerja bagi memenuhi pesanan pelanggan dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di kediamannya di Sikamat, Negeri Sembilan pada 29 Mac 2020. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Bekerja dari rumah sepanjang PKP perlu disiplin tinggi

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara sudah masuk ke fasa kedua dan pihak yang menerima kesan besar daripada perintah ini adalah golongan pekerja.

Pelaksanaan PKP bukanlah bermaksud mereka mendapat cuti percuma. Kerja tetap harus dibuat tetapi prlaksanaannya adalah secara bekerja dari rumah (BDR) dan ia adalah tidak mudah.

Ada beberapa perkara yang perlu difahami dan diselesaikan sebelum seseorang itu boleh bekerja dengan cekap di luar pejabat.

Bekerja dari rumah bererti perlu bijak menguruskan tuntutan kerja di pejabat dan di rumah pada waktu yang sama. Ramai pekerja memakai ‘topi’ yang pelbagai dalam satu masa sebagai pekerja, ibu, anak, dan suami.

BDR PENJAWAT AWAM

Bagi pegawai kerajaan, arahan bekerja dari rumah yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dalam surat bertarikh 17 Mac 2020 menetapkan, setiap pegawai kerajaan yang bekerja dari rumah mestilah mematuhi tiga syarat.

Syarat pertama adalah sentiasa berada di dalam rumah dalam tempoh waktu bekerja yang ditetapkan kerajaan; kedua adalah sentiasa bersedia sekiranya diarah ketua jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain dan ketiga memastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.

Surat tersebut turut menyatakan tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi tiga perkara di atas melainkan mendapat kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing.

Pegawai kerajaan juga tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

BDR boleh dikatakan satu perkara baharu terutamanya bagi sektor awam. Apakah cara yang boleh dilakukan supaya kaedah kerja ini boleh dilaksanakan dengan jayanya?

Bernama menemu bual beberapa orang individu yang sudah biasa dengan amalan BDR ini dan berkongsi pengalaman mereka yang boleh dijadikan panduan.

KEKALKAN IMBANGAN

Pengarah Sumber Manusia Shell Malaysia, Shazmi Ali berkongsi beberapa panduan bagaimana beliau bekerja dari rumah menerusi video yang dihasilkan sendiri. Video itu setakat ini meraih hampir 10,000 tatapan.

“Apa yang sesuai untuk saya dan yang sesuai dengan anda, mungkin berbeza, tetapi bagi saya, langkah nombor satu, jangan tukar rutin anda. Lakukan apa yang anda biasa lakukan sebelum ke tempat kerja, “ katanya kepada Bernama, sambil merujuk kepada rutin pagi seperti mandi dan minum secawan kopi.

Bagi Shazmi, terpulanglah kepada pilihan individu hendak pakai apa ketika bekerja dari rumah. Cuma yang penting, beliau mencadangkan supaya tukarlah pakaian tidur dan pakai yang selesa untuk sepanjang hari.

Mempunyai ruang kerja yang khusus juga faktor penting untuk BDR yang cekap. Kecil atau besar ruang kerja bukanlah menjadi isu, selagi cukup untuk letak komputer riba, dokumen atau perkakas lain yang diperlukan supaya kerja boleh disiapkan.

Shazmi turut mencadangkan supaya sesekali berehat seketika di samping meluangkan masa untuk keluarga. Bangun dari tempat duduk dan buat regangan, boleh juga bermain dengan anak-anak untuk mengimbangkan kerja dengan kehidupan anda.

“Dalam keadaan yang serba mencabar sekarang, bukan mudah bekerja dari rumah. Kita fikir senang tetapi tidak ….keadaan mungkin menjadi sukar. Saya ada anak kecil. Saya perlu sesuaikan keadaan dan ini adalah langkah nombor dua.

“Perlu jelaskan kepada isteri anda, anak-anak anda atau ibu bapa anda yang anda akan bekerja dari rumah, anda perlu membuat panggilan telefon, saya ada di rumah bukan bercuti, Mereka akan faham.

“Pagi ni saya ada mesyuarat dalam talian dan anak-anak saya ada dengan saya. Bukan saya nak mereka di samping saya dan mereka pun buat bising, sesekali jerit, semua orang boleh dengar. Oklah macam tu kan? Nama pun bekerja dari rumah, “ kata Shazmi.

SASAR KPI BUKAN JUMLAH JAM

Bagi seorang digital nomad Faiz Najmi, beliau menjadikan sasaran (KPI) kerja harian sebagai kayu ukur nilai kerja harian yang dilakukan. Menurut beliau dengan cara ini seseorang boleh bekerja dengan lebih fleksibel namun tetap berkesan menyiapkan tugasan.

“Instead of buat jadual yang impossible, saya buat KPI seperti tiga muka surat tesis setiap hari. Kalau nak tidur, tidur sahaja asalkan kerja siap. Kalau terasa nak tangguhkan kerja, duduk depan laptop atau kira sampai 20 dan mulakan kerja,” kata beliau.

Beliau turut menekankan soal penjagaan kesihatan fizikal dan mental. Pengambilan makanan, amalan senaman serta mengawal tekanan emosi adalah perkara yang perlu dititikberatkan.

“Satu kali suap kunyah 50 kali pun tak apa…buatlah senaman naik turun tangga, yoga, tekan tubi dan sit up. Media sosial juga akan membuat kita resah gelisah dengan isu Covid-19 jadi hadkan penggunaan kepada setengah jam di waktu pagi dan setengah jam di waktu petang,” pesan beliau yang juga pernah bertugas sebagai doktor.

Istilah digital nomad merujuk kepada seseorang yang melakukan kerja tanpa batasan masa atau geografi. Faiz yang juga merupakan seorang pengembara memilih jenis kerja yang membolehkan beliau bekerja dari pelbagai lokasi di seluruh dunia.

JANGAN ROSAKKAN KEPERCAYAAN

Sementara itu, bagi Muhammad Aizat Abdul Razak, 35, pengalaman bekerja dari rumah sejak setahun lalu mengajar beliau pentingnya kriteria saling percaya antara ketua dan pasukan sebagai kunci menjayakan BDR.

“Kurangkan andaian, berikan kepercayaan. Itulah kuncinya. Ketua atau pengurus yang kali pertama melalui BDR usah takut memberi kepercayaan kepada team kita. Buatlah panduan asas. Istighfar banyak-banyak kalau asyik fikir team buat kerja atau tidak. Untuk team pula usah ambil kesempatan dan usah pecahkan rasa kepercayaan yang diberi,” kata beliau yang menguruskan pengiklanan klien melalui laman Facebook.

Kaedah yang digunakan pasukannya adalah mengadakan senarai kerja setiap pagi mengikut waktu pejabat. Lebih baik lagi jika dapat diadakan mesyuarat dalam talian agar setiap orang dapat memaklumkan rancangan pekerjaan harian.

Aizat berkata komunikasi memainkan peranan penting untuk menjayakan BDR. Pasukan beliau meletakkan panduan ‘mesti respons mesej dalam tempoh 30 minit’ dan bagi sesiapa yang perlu meninggalkan kerja untuk urusan peribadi perlu memaklumkan kepada ketua.

Selepas waktu bekerja tamat, setiap ahli pasukan berkongsi senarai tugasan yang berjaya dilakukan. Rutin ini berlaku secara harian.

PENGALAMAN BAHARU

Bagi penulis sendiri walaupun sudah biasa bekerja dari luar pejabat, pengalaman bekerja dari rumah dalam tempoh PKP mengajar beberapa perkara baharu dalam membina budaya kerja yang stabil.

Dua perkara penting bagi penulis adalah jadual harian yang ‘adil’ bagi diri sendiri serta ruang kerja yang teratur dan lengkap.

Jadual penulis tidak banyak diubah berbanding jadual harian sewaktu bekerja di pejabat. Bangun tidur, mandi dan masuk ke ‘pejabat’ tetap berjalan seperti biasa walaupun ‘pejabat’ hanyalah beberapa langkah dari bilik tidur sahaja!

Tidak dinafikan ‘keseronokan’ bekerja tidaklah seperti yang biasa kerana sebagai wartawan berjalan ke sana ke sini bertemu pelbagai orang adalah lumrah setiap hari. Ia diganti dengan panggilan telefon dan menghantar emel kepada pihak yang ingin ditemu bual sambil memantau trend di media sosial.

Penulis turut meluangkan masa yang cukup untuk memasak dan keluar membeli barang keperluan. Waktu memasak paling ditunggu setiap hari kerana ia memberi ruang untuk tidak memikirkan tentang hal kerja buat sementara waktu.

TAMBAHKAN ILMU

Bagi pengurus atau pekerja yang baru mahu membiasakan diri dengan budaya kerja dari luar pejabat, ada baiknya jika mereka mengambil sedikit masa untuk menambah ilmu berkaitan perkara ini.

Laman sosial kerjaya LinkedIn menerusi blog mereka ada berkongsi pautan video pendek meliputi topik seperti memaksimumkan produktiviti dan tahap kecekapan kerja, pengurusan stres, pengurusan pasukan secara jarak jauh dan laman sesawang yang menyediakan kemudahan mesyuarat secara maya.

Semua maklumat ini boleh didapati di pautan https://learning.linkedin.com/blog/productivity-tips/new-to-working-remotely–these-resources-can-help.

Bahan bacaan lain seperti dari majalah Time juga menarik dengan penekanan kepada sistem ‘buddy’ https://time.com/5801725/work-from-home-remote-tips/.

Arikel dari laman sesawang Entrepreneur.com pula berkongsi cara bekerja yang lebih santai seperti amalan walking meeting dan menikmati waktu kerja https://www.entrepreneur.com/article/347479.

Pendek kata, ada banyak cara untuk menjayakan usaha BDR. Pilihlah cara yang paling sesuai untuk diri sendiri dan organisasi anda. Apa yang penting kualiti kerja tetap dapat dicapai.

Siapa tahu selepas ini semakin banyak syarikat dan bos yang lebih terbuka memberi pelepasan bekerja dari rumah kepada warga kerja mereka.

– BERNAMA


Pengarang :