AGENDANASIONAL

Beli barang segar, hasil pertanian melalui Shopee

SHAH ALAM, 17 APRIL: Penduduk Lembah Klang kini boleh membeli barangan mentah serta hasil pertanian seperti ayam, sayuran dan buah-buahan di kedai Fama (Agrobazaar_Fama) secara dalam talian menerusi platform e-dagang, Shopee.

Pengguna juga boleh membeli makanan laut segar beku seperti ikan kembong, tongkol, selar dan produk yang diproses termasuk makanan ringan dan nuget menerusi platform sama di kedai Nekmat.

Ia hasil kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), bersama Shopee.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, Fama, Nekmat, LKIM dan Shopee berkata usaha itu bertujuan membantu petani dan nelayan yang terjejas kerana menghadapi gangguan rantaian bekalan dan kebimbangan orang ramai keluar ke tempat awam akibat Covid-19.

Sehubungan itu, kata kenyataan tersebut, pelancaran kedai Fama dan kedai Nekmat di Shopee membolehkan hasil segar serta makanan laut daripada petani dan nelayan dihantar terus kepada rakyat.

“Penghantaran kini dibuka untuk penduduk Lembah Klang di mana pembeli yang membuat pesanan sebelum jam 12 tengah hari akan menerima produk mereka pada hari berikutnya (kecuali hujung minggu dan cuti umum),” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan barangan segar tersebut di kedai rasmi Fama di https://shopee.com.my/agrobazaar_fama dan kedai Nekmat di https://shopee.com.my/nekmat.os.

Inisiatif ini dijangka dapat menyokong 1,500 petani tempatan, 100 usahawan Industri Agribusiness di bawah Fama dan 56,000 nelayan untuk mengekalkan pendapatan mereka.


Pengarang :