AGENDAJENAYAH

Bicara kes Roger berkaitan terbitan bon 1MDB di mahkamah tinggi

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar kes bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, yang didakwa dengan empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu, berhubung penjualan nota jaminan dan bon dimiliki anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$6.5 bilion.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir berkata, mahkamah masih belum menetapkan tarikh perbicaraan untuk kes tersebut.

Ketika dihubungi beliau berkata, pihak pendakwaan telah memohon untuk memindahkan kes tersebut daripada Makamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

“Pihak pendakwaan telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Mohamad Zaini Mazlan dan pada 26 Februari tahun ini, hakim telah membenarkan permohonan kami itu,” katanya.

Pendakwaan membuat permohonan tersebut untuk kes tersebut dipindahkan antara lain atas alasan disebabkan kerumitan dan fakta terkini yang melibatkan kes itu.

“Kes ini melibatkan Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan peruntukan lain dalam CMSA di mana persoalan undang-undang yang amat sukar dijangka akan timbul.

“Disebabkan isu baru dan sukar berkaitan undang-undang pada peruntukan ini dan kerumitan fakta berkaitan dalam kes ini, adalah wajar bagi tujuan keadilan untuk kes ini diadili di makamah tinggi,” kata pihak pendakwa.

Roger pada 19 Disember 2018 telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, dengan empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan nota jaminan dan bon milik anak syarikat 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.

Roger, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan. Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut di pejabat 1MDB, di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012, dan 11 November 2013.

Beliau didakwa mengikut Subseksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 24 Februari 2020, Goldman Sachs International Ltd yang berpangkalan di UK dan Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapore), mengaku tidak bersalah di mahkamah tinggi atas pertuduhan penjualan bon 1MDB yang sama (AS$6.5 bilion).

Wakil Goldman Sachs Ng Keng Leong membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini dan hakim tersebut telah menetapkan tarikh perbicaraan bermula 9 November tahun ini.

Ditanya mengenai kemungkinan kes Roger akan dibicarakan bersekali dengan kes Goldman Sachs, Zaki Asyraaf menyatakan; “kemungkinan besar”.

Pada Mei tahun lepas, Roger telah diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan jenayah oleh Jabatan Kehakiman AS berkaitan kepada skandal 1MDB.

– BERNAMA


Pengarang :