AGENDANASIONAL

BPN dikaji semula jika PKP lanjut lebih tiga bulan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Kerajaan bersedia mengkaji semula jumlah bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan yang diberikan bermula 6 April lalu mampu menampung kehidupan rakyat selama tiga bulan.

“Kalaulah krisis Covid-19 tidak dapat ditangani dalam masa tiga hingga enam bulan, kita mesti mengkaji semula jumlah pembayaran,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Soal Rakyat, malam tadi.

Pada 27 Mac lalu, kerajaan mengumumkan BPN sebanyak RM9.24 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

Pembayaran BPN ialah RM1,600 kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata sebanyak dua juta permohonan baharu dan 200,000 rayuan BPN diterima kerajaan setakat ini.

“Jika melihat trend (jumlah permohonan baharu) masih lagi di dalam bajet fiskal berjumlah RM250 bilion, memang boleh kita berikan,” katanya lagi.


Pengarang :