AGENSISELANGOR

Buat komik kesedaran pelihara sungai, RM4,500 menanti pemenang

SHAH ALAM, 14 APRIL: Landasan Lumayan Sdn Bhd menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM4,500 menerusi pertandingan melukis komik kesedaran penjagaan sungai, kata pengarah urusannya.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin

Syaiful Azmen Nordin berkata pertandingan diadakan anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) itu bertujuan mengisi masa lapang rakyat Malaysia yang berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pertandingan  ini juga membolehkan orang ramai menggunakan masa lapang untuk berfikir sejenak mengenai keadaan sungai kita sekali gus menunjukkan cara lebih bertanggungjawab ke atas penjagaan sungai untuk masa depan lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata terdapat tiga tema komik yang boleh dipilih iaitu Hentikan Pencemaran Sungai, Jadilah Penjaga Sungai atau Sungai Bersih, Masa Depan Kita dan peserta boleh memuatnaik hasil komik menerusi akaun Instagram masing-masing dengan tanda pagar #SMGWaterYouDoing sebelum jam 6 petang pada 22 April.

“Penyertaan boleh dibuat secara lukisan tangan atau digital dalam satu hingga lima kotak panel, sama ada berwarna atau hitam putih.

“Pemenang yang menerima ‘tanda suka’ terbanyak di Instagram akan menerima hadiah wang tunai RM2,000 untuk tempat pertama, RM1,000 (kedua), RM500 (ketiga) dan 10 hadiah saguhati (RM100 seorang),” katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh melayari https://www.selangormaritimegateway.com/announcements/ dan https://www.instagram.com/p/B-bJYnkHPeV/.


Pengarang :