Kakitangan agensi Kerajaan Negeri berganding bahu membersihkan sisa pepejal di sekitar Pulau Ketam ketika Program Kitar Semula dan Kesedaran Pengasingan Sisa Pepejal di SMK Pulau Ketam pada 26 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Bumi ditimbuni sampah, usaha kitar semula terencat akibat Covid-19

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Serangan Covid-19 dan penguatkuasaan PKP merencatkan usaha perlindungan alam sekitar serta industri kitar semula negara.

PKP menyebabkan bertan-tan sisa buangan yang biasanya dibawa ke pusat kitar semula terbiar di tempat pengumpulan sampah biasa.

Manakala isi rumah tempatan dan pengutip sampah, yang biasanya mengumpul bahan tersebut untuk dikitar semula, kini dipaksa membuang bahan balik bahan itu ke tempat pengumpulan sampah biasa, memandangkan tidak ada jaminan bahawa sisa ini akan diproses.

Mungkin, 2020 bukan masa yang sesuai untuk meraikan ulang tahun Hari Bumi yang ke-50, yang jatuh semalam.

Tinjauan Bernama di Petaling Jaya menyaksikan kutipan sampah ditimbuni dengan sisa logam, kertas dan pembungkusan plastik/makanan.

Sebagai contoh, kebanyakan pembungkusan yang diperbuat daripada beg plastik yang tidak biodegradasi serta bekas yang digunakan untuk makanan bawa pulang termasuk yang dipesan melalui perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian dibuang banyak kelihatan menjadi sisa sampah.

“Saya rasa ini adalah pemandangan yang biasa di seluruh negara ketika ini. Beribu-ribu pengutip sampah termasuk rakyat asing, yang mencari rezeki melalui sampah kitar semula tidak dapat melaksanakan pekerjaan mereka disebabkan sekatan pergerakan dan mereka tidak boleh menjual kepada pembeli sampah kitar semula,” menurut seorang penduduk yang tidak mahu dikenali kepada Bernama.

Dengan ramalan ekonomi global yang suram, permintaan untuk sisa kitar semula pasti akan menerima kesan.

Sisa seperti ini memberikan beban yang besar kepada pihak berkuasa tempatan untuk membersihkannya selepas Covid-19 dan PKP memandangkan ia boleh mendatangkan kesan yang buruk ke atas alam sekitar.

Sejak beberapa tahun lepas, Malaysia telah meningkatkan usaha untuk membersihkan alam sekitar. Ini termasuk meningkatkan kesedaran kitar semula dikalangan rakyat, di samping menghentikan import bahan buangan yang tidak dikehendaki oleh negara lain.

Malangnya, Covid-19 menyebabkan usaha perlindungan alam sekitar kini seperti tidak berbaloi. Industri kitar semula plastik di seluruh dunia, sebagai contoh, bernilai US$600 bilion (RM2.52 trilion), yang mana Malaysia mahu mengambil kesempatan daripada potensi ini.

Kertas putih yang diterbitkan oleh Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) pada tahun lepas, memberitahu industri kitar semula plastik telah menyumbang sebanyak RM4.5 bilion kepada ekonomi, mencerminkan peluang pertumbuhan dengan menukar sisa kepada wang.

“Pengitar semula plastik berpotensi meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi negara sebanyak tiga hingga empat kali ganda, iaitu kira-kira RM15 bilion kepada RM20 bilion setiap tahun, dan ini boleh diraih melalui peningkatan pelaburan dalam teknologi, infrastruktur dan kapasiti yang dinaik taraf,” kata persatuan berkenaan.

Ketika negara sedang berhempas pulas menangani Covid-19 termasuk sekatan PKP, kempen “plastik sifar” tertangguh dan penggunaan cawan boleh guna semula dan beg membeli-belah sedia ada mungkin mampu menyebarkan virus dan ini meningkatkan kebimbangan.

-BERNAMA


Pengarang :