AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah, tekanan jualan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari dagangan terakhir minggu ini, berikutan tekanan jualan susulan prestasinya yang baik dalam beberapa hari lepas.

Pada 9.02 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.56 mata, atau 0.698 peratus kepada 1,360.20 daripada 1,369.76 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks utama dibuka rendah 8.14 mata kepada 1,361.62.

Suasana pasaran, bagaimanapun, menyakinkan dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 153 berbanding 82, manakala 193 kaunter tidak berubah, 1,491 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 157.82 juta bernilai RM42.58 juta.

Rakuten Trade dalam nota hari ini berkata Wall Street Amerika Syarikat (AS) terus mencatatkan aliran turun naik tetapi ditutup tinggi susulan Rizab Persekutuan AS mengumumkan pakej pembiayaan berjumlah US$2.3 trilion untuk memulihkan ekonomi AS berikutan pandemik COVID-19.

Purata Perindustrian Dow Jones melepasi paras 24,000 pada satu ketika sebelum aktiviti pengambilan untung mendorong indeks untuk ditutup lebih rendah kepada 23,700, menunjukkan sentimen yang lemah dalam kalangan pelabur.

Oleh itu, firma penyelidikan tersebut menjangka trend itu akan mempengaruhi peringkat serantau, terutamanya menjelang hujung minggu.

Di samping itu, harga minyak mentah terus merosot walaupun Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari mulai Mei.

Penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada US$31.48 setong, susut 4.14 peratus.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lima sen kepada RM7.46, Dialog susut dua sen kepada RM3.10 manakala Genting Malaysia naik satu sen kepada RM2.11 dan Genting meningkat dua sen kepada RM3.81.

Keputusan untuk mengurangkan pengeluaran oleh ahli kartel minyak yang diketuai Arab Saudi dan Rusia tidak membantu memberi petunjuk yang positif kepada kaunter tenaga.

Daripada saham aktif, Sapura Energy dan Bumi Armada, masing-masing tidak berubah pada 11 sen dan 18.5 sen, manakala Hibiscus Petroleum susut dua sen kepada 51 sen.

Kaunter paling untung didahului oleh United Plantation, yang naik 14 sen kepada RM25.08, BAT menambah 10 sen kepada RM10.80 dan PetGas meningkat lapan sen kepada RM15.46.

Indeks FBM Emas susut 44.46 mata kepada 9,425.45, Indeks FBM Emas Shariah merosot 0.25 mata kepada 10,403.83 manakala Indeks FBMT 100 turun 48.17 mata kepada 9,312.63.

FBM 70 menambah 14.52 mata kepada 11,065.95 dan FBM Ace melonjak 13.87 mata kepada 4,193.57.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.34 mata kepada 110.78, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 208.60 mata kepada 12,266.52 dan Indeks Perladangan merosot 20.19 mata kepada 6,263.66.

-BERNAMA


Pengarang :