AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi, pelabur kembali ke pasaran

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan pelabur kembali ke pasaran untuk menyokong kaunter tenaga susulan peningkatan semula semalaman harga minyak, dalam persekitaran ketidaktentuan global yang berterusan.

Pada 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.36 mata kepada 1,373.56 daripada 1,372.20 semasa ditutup semalam.

Suasana pasaran optimis dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 209 berbanding 91, manakala 192 kaunter tidak berubah, 1,411 tidak diniagakan dan 71 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 234.03 juta saham bernilai RM64.86 juta.

Malacca Securities dalam nota ekuitinya hari ini berkata walaupun FBM KLCI dapat meneruskan peningkatannya, pelabur tetap tidak yakin dengan pemulihan berikutan momentum belian hanya dapat dilihat pada waktu dagangan akhir, semalam.

“Kami percaya turun naik harga minyak mentah tidak memberi prospek yang baik seperti yang dapat dilihat dalam sektor tenaga yang mencatatkan kemerosotan. Ini juga boleh menjejaskan sebarang peningkatan daripada prospek pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berperingkat di seluruh dunia,” katanya.

Kaunter tenaga hari ini mencatatkan peningkatan tertinggi berikutan ia naik sebanyak 1.49 peratus kepada 655.69 selepas hari dagangan yang tidak menentu semalam.

Sehingga 9 pagi, penanda aras minyak mentah Brent pada US$20.74 setong.

Seorang lagi penganalisis berkata bursa tempatan dijangka dalam jajaran kecil hari ini berikutan pelabur menunggu pengumuman daripada Rizab Persekutuan AS (US Fed) hari ini mengenai perbincangan yang dijangka berhubung panduan untuk ekonomi melangkah ke hadapan.

Menurut Bloomberg, US Fed telah mengurangkan kadar faedah kepada hampir sifar dan kini perlu membuat keputusan sama ada lebih banyak lagi yang perlu dibincangkan.

Bank pusat AS sibuk melaksanakan kemudahan pinjaman kecemasan untuk memberikan kecairan kepada ekonomi yang sebahagian besarnya terjejas oleh pandemik Covid-19.

Mengenai kaunter saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM7.38, Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM12.18, Public Bank meningkat dua sen kepada RM15.96, IHH menokok enam sen kepada RM5.18 dan Maxis naik empat sen kepada RM5.40.

Bagi saham aktif, ARB meningkat 2.5 sen kepada 30 sen dan JYC naik dua sen kepada 28 sen, manakala Nestle muncul sebagai kaunter paling rugi hari ini berikutan ia merosot RM1.10 kepada RM137.90 dan MISC susut 38 sen kepada RM8.00.

Indeks FBM Emas naik 20.31 mata kepada 9,578.33, Indeks FBMT 100 meningkat 17.74 mata kepada 9,454,04, Indeks FBM Emas Shariah menambah 19.27 mata kepada 10,631.05, FBM ACE menokok 16.49 mata kepada 4,649.51 manakala FBM 70 naik 55.90 mata kepada 11,441.23

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 10.73 mata kepada 12,209.53, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.11 mata kepada 114.43 manakala Indeks Perladangan menambah 14.40 mata kepada 6,139.80.

-BERNAMA


Pengarang :