AGENDANASIONAL

Cadangan tangguh bayar balik pinjaman LPPSA ke Kabinet

PUTRAJAYA, 4 APRIL: Cadangan untuk menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium bagi peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk penjawat awam dibawa untuk perbincangan Kabinet minggu depan, kata menteri kewangan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata semua cadangan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan juga kementerian serta agensi berkaitan.

“Jadi tunggulah pengumuman kalau ada mengenai ini (moratorium bagi LPPSA),” katanya.

Beliau menjawab demikian berkenaan cadangan peminjam LPPSA diberikan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan bagi meringankan beban penjawat awam.

“Perbincangan dalam Kabinet insya-Allah minggu depan. Jadi kita tunggu lepas perbincangan Kabinet. Ada banyak cadangan tapi kita akan bincang cadangan yang boleh membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan peralatan perubatan iaitu 10 unit alat pernafasan RM1.2 juta dan 20,000 topeng muka daripada dua syarikat China – China Construction Bank (Malaysia) Bhd dan Beibu Gulf Holding Malaysia Sdn Bhd – bagi menyokong usaha kerajaan Malaysia mengekang Covid-19, di sini hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :